" ORANG MUDA GENG KITA - JOM JOIN PAS '

Friday, September 21, 2007

Desakan supaya perkhidmatan Ketua Hakim Negara digantung


Posted on Thursday, September 20 @ 22:21:34 MYT by greenboc

Artikel Oleh Malaysiakini

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang menggesa supaya perkhidmatan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim digantung ekoran pendedahan klip video yang menunjukkan seorang peguam berbual dengan Ketua Hakim Negara itu dalam menentukan pelantikan hakim-hakim kanan.

Dalam suratnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini, Lim yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur, menggesa ditubuhkan sebuah tribunal kehakiman untuk menyiasat salahlaku dalam klip video tersebut.

Semalam, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mendedahkan klip video yang menunjukkan Lingam memberitahu Ahmad Fairuz yang dia akan mengemukakan nama Ahmad Fairuz untuk jawatan tertinggi badan kehakiman.

Klip video itu dirakamkan pada 2002 ketika Ahmad Fairuz menjadi Hakim Besar Malaya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata, Ahmad Fairuz sepatutnya digantung perkhidmatannya mengikut Artikel 125 Perlembagaan, yang membenarkan pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes salahlaku.

Ia juga membolehkan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan sebuah tribunal dan atas perakuan tribunal tersebut, memecat hakim terbabit.

Menurutnya, tuduhan salahlaku itu menjejaskan perjalanan keadilan dan sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, melalui suratnya itu, supaya menguatkuasakan Article 125.

Pulihkan keyakinan rakyat

Lim berkata, dalam suratnya kepada Abdullah itu, beliau menyatakan, dengan pelantikan pemangku ketua hakim negara, usaha bersungguh-sungguh mesti dilakukan untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti, kebebasan, profesionalisme dan kesaksamaan badan kehakiman.

Menurut perlembagaan, tribunal tersebut akan mempunyai anggota tidak kurang daripada lima orang dari kalangan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi.

Yang di-Pertuan Agong juga boleh melantik hakim-hakim kanan dari mana-mana negara Komanwel, untuk menganggotai tribunal tersebut.

Di samping itu, Lim juga menggesa supaya diwujudkan suruhanjaya pelantikan dan kenaikan pangkat badan kehakiman bagi memastikan ketelusan dalam proses kenaikan pangkat para hakim.

Beliau juga menuntut supaya sebuah suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk mencadangkan penambahbaikan ke arah mewujudkan badan kehakiman yang lebih bebas.

Seorang lagi ahli Parlimen DAP, M Kulasegaran menyifatkannya sebagai 'satu barah dalam badan kehakiman yang mesti disiasat an dibersihkan'.

"Itulah satu-satunya cara untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap hakim dan sistem kehakiman kita," kata ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

Gesa letak jawatan

Sementara itu, badan pemantau hak asasi manusia, Suaram menyifatkan pendedahan tersebut sebagai "satu penyelewengan kuasa di peringkat tertinggi".

eSehubungan itu, Suaram menggesa Ahmad Fairuz supaya meletakkan jawatan serta merta.

Menurut Suaram lagi, kebebasan badan penghakiman tidak pernah dapat dipulihkan sejak pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas (foto) pada 1988, sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Majlis Peguam menyifatkan klip video itu sebagai "mengejutkan". Majlis tersebut akan mengadakan mesyuarat tergempar esok untuk membincangkan perkara tersebut.

Latarbelakang pita Lingam

Klip video selama lapan minit itu dirakamkan pada 2002 di kediaman peguam kanan Datuk VK Lingam di Kelana Jaya. Pada masa itu, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah adalah Ketua Hakim Negara. Beliau dilantik pada tahun 2000, menggantikan Tun Mohd Eusoff Chin (1994-2000).

Dzaiddin bersara pada 2003, dan video tersebut menunjukkan Lingam menyuarakan kebimbangannya yang Ketua Hakim yang akan bersara itu mahu melantik 'orang-orangnya' ke jawatan-jawatan tertinggi badan kehakiman. Perbualan itu menyentuh tentang perlunya disegerakan pelantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim (ketika itu Hakim Besar Malaya - jawatan No 3), ke jawatan Presiden Mahkamah Rayuan (No 2) dan kemudiannya Ketua Hakim Negara (No 1). Juga terdapat perancangan untuk melantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Mokhtar Abdullah, yang ketika itu hakim Mahkamah Persekutuan, untuk menggantikan Ahmad Fairuz untuk jawatan No 3.

Untuk berbuat demikian, Lingam turut membabitkan jutawan Tan Sri Vincent Tan, yang rapat dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, untuk menemui Dr Mahathir mengenai pelantikan hakim-hakim.

Catatan tambahan

Ahmad Fairuz dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada Disember 2002 - beberapa bulan selepas perbualan telefon tersebut. Dzaiddin bersara sebagai Ketua Hakim Negara pada 2003 dan beliau digantikan oleh Ahmad Fairuz. Mokhtar, bagaimanapun, tidak menjawat jawatan No 3 kerana koma selepas terjatuh pada bulan Ogos 2002. Beliau meninggal dunia pada 2003. Tempoh perkhidmatan Ahmad Fairuz' sebagai Ketua Hakim Negara akanberakhir pada bulan Oktober 2007.

No comments:

IKUT KAMI DISINI..

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH