" ORANG MUDA GENG KITA - JOM JOIN PAS '

Friday, August 29, 2008

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK


JEMAAH MENTERI ANJUR MAKSIAT DIPINTU RAMADHAN


Kenyataan Media . BANTAH KONSERT AVRIL

Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk sekeras – kerasnya tindakan jemaah menteri meluluskan semula konsert Avril Lavigne walaupun sebelumnya Kementerian Kesenian dan Warisan serta PUSPAL telah membatalkan konsert yang akan diadakan pada 29 Ogos ini, malang ia diluluskan kembali apabila diangkat kepada mesyuarat jemaah menteri .

Konsert ini adalah suatu penghinaan kepada negara Malaysia dan umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadhan al Mubarak pada bulan september ini.
Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Dimana ia adalah suatu tindakan yang kurang ajar dan biadab terhadap ummat Islam , walaupun Shafie Afdal menyatakan bahawa penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini.

Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitif jemaah menteri kepada perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Tarikh 29 Ogos 2008 sekurang – kurang berhadapan dengan suasana penting bagi negara ini khasnya ummat Islam .
Pertama ummat Islam bakal menghadapi bulan ibadah yang penuh kemuliaan dan keberkatan . Sepatutnya ia tidak dicemari oleh konsert seperti ini yang membawa masuk seorang artis simbol seks Avril Lavigne . Pastinya konsert ini akan membawa ummat leka dan lalai malah merosakkan moral dan akhlak mereka .

Kedua , berhadapan pula dengan ulangtahun kemerdekaan negara pada 31 ogos . Lazimnya pihak kerajaan menganjurkan majlis tahlil di seluruh negara dan forum untuk motivasi rakyat khasnya anak – anak muda supaya mewarisi semangat patriotisme . Konsert seperti ini sekali lagi tidak akan membantu motivasi rakyat untuk menjadi rakyat yang baik , bermoral dan berdaya saing , sebaliknya hanya melemahkan moral dan mental mereka sekaligus mengheret mereka tenggelam dibawah gelora nafsu.


Pembatalan konsert sebelum ini, rupanya bukanlah kerana menghormati hari kemerdekaan ke-51 tetapi hanya kerana kelewatan memohon permit. Maruah umat Islam dan rakyat Malaysia seperti dipijak-pijak dan dipermain oleh para jemaah menteri, semata-mata untuk menjaga hati Avril Lavigne.
Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan Kerajaan UMNO dan BN , di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Melayu dan Islam di negara ini. Mana perginya konsep AL-Falah laungan Najib dan Islam Hadhari yang di banggakan oleh Pak Lah?. Apa yang Shafie Afdal buat dalam KEKKWA untuk mempertahankan hak kesenian dan warisan bangsa, atau Shafie telah menyenaraikan budaya kebebasan barat sebagai salah satu budaya warisan bangsa?

Dewan Pemuda PAS Pusat tegas menyatakan sikap bahawa konsert seperti ini mesti dibatalkan segera dan ini adalah amaran keras kepada pihak penganjur agar tidak mencabar sensitiviti ummat Islam . Andai mereka tidak peduli amaran ini , Dewan Pemuda PAS Pusat tidak teragak – agak akan mengerahkan seluruh pemuda Islam agar turun membantah Konsert tersebut daripada terus berlangsung .

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru dan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS turut bersama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik tetapi melibatkan maruah dan harga diri ummat Islam . Jika begini terus menerus sikap kerajaan UMNO dan BN , mereka bukan sahaja jauh dari rahmat dan berkat Ilahi tetapi insyaallah akan terus dibuang dan dihumban oleh rakyat yang semakin hari semakin jelak dan muak dengan sikap berpura – pura Islam mereka .

Dewan Pemuda PAS Pusat turut menggesa agar seluruh mufti menunjuk sikap dan menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan yang membenarkan penganjuran pesta maksiat ini agar mereka tidak hanya responsif terhadap isu seperti sumpah saiful bahri tetapi diharap turut menunjuk sikap bagi membersihkan bumi ini dari maksiat dan mungkar .
Yang Menjalankan Tugas Nasrudin bin Hassan at Tantawi Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

IKUT KAMI DISINI..